Saturday, October 17, 2009

Kenangan Hari Raya Aidil Fitri Dulu-Dulu

Kenangan hari raya ke dua di tahun 1979 ketika aku berumur 5 tahun


Akhir sekali sebagai penutup tirai raya, aku nak bercerita tentang raya dulu dan raya sekarang. Jauh benar perbezaannya antara dulu dan kini. Dulu2 bila start puasa saja ramai orang2 tua yg dah start jemur tepung, jemur gula dan sebagainya untuk dibuat kuih muih. Ada seorang Makcik di Quaters tempat aku dan keluarga tinggal dahulu yang rajin sangat membuat kuih2 tradisional seperti bahulu, agar2 kering bersako, tumpi, rempeyek, bangkit, kuih kering, halwa dan sebagainya. Pendek kata kalau beraya di rumahnya berbagai jenis kuih yg dapat kita nikmati. Arwah makcik itu berasal dari Melaka dan dia juga merupakan ibu angkat kepada kami 4 beradik. Baik sungguh orangnya.
Kalau dahulu, orang2 tua membuat kuih di belakang rumah, di atas ambin. Aku masih ingat lagi waktu itu. Bila aku turun dari bas sekolah, aku pasti akan melencong ke belakang rumah makcik2 yg membuat kuih raya ni sambil menyapa mereka. Baik sungguh makcik2 tuh dan mereka pasti akan memberi aku kuih2 yg telah siap dibakar atau digoreng kepada aku untuk dibuat berbuka. Gembira aku waktu itu. Emak selalu memarahi aku, katanya jangan suka menggendeng makanan orang tak baik. Memang meriah sekali suasana di bulan ramadhan bila melihat kaum2 ibu sibuk menyediakan juadah berbuka dan sedekah juadah antara jiran.
Bila menjelang raya, disetiap rumah sibuk menganyam kelongsong ketupat dan ada yg membuat dodol. Di rumahku hanya emak dan ayah saja yg pandai menganyam ketupat manakala kakakku pula boleh mengisi beras. Aku dan abangku no 3 hanya bermain2 sahaja manakala abang sulungku pulang sehari dua sebelum raya kerana dia ketika itu bertugas di Terendak Kem Melaka.
Dulu2 baju raya semua dah digosok awal dan kasut raya juga dah disusun untuk sedia dipakai dihari raya. Dua hari sebelum raya, langsir dan sarung kusyen telah siap dipasang dan karpet orang Johor panggil karpet sebagai ampo (hampar) juga dah dibentang. Di malam raya pulak rumah kami akan dipasang setanggi untuk mewangikan rumah. Lepas tuh esok pagi tetamu datang rumah berbau wangi. Kalau sekarang ni macam potpuri gitulah . Sekarang ni mana ada orang buat lagi macam tu. Bau setanggi sekarang dah tak sesedap macam dulu. Kalau dulu orang bakar setanggi dicampur dengan minyak ambar bersama kulit kayu gaharu tapi kini campurannya dah lain. Yang popular menjual minyak ambar itu ialah dibuat oleh ibu kepada Allahyarham Tun Hussien Onn dan minyak ambar ini sangat popular di Johor Bahru yg dibakar bersama kayu gaharu dan cendana sebagai pewangi rumah.




keratan akhbar - raya di zaman sebelum merdeka di Singapura


Semasa hari raya yg pertama lepas, aku sekeluarga telah beraya di rumah ayah saudaraku di Jurung West, Singapura dan ketika aku membelek2 akhbar Berita Harian Singapura, tiba2 aku terpandang akan dua gambar di atas ini. Gambar dalam simpanan penulis tentang raya dahulu. Apa yg lebih menarik perhatianku ialah kain samping songket yg dipakai oleh lelaki yg memimpin anaknya itu serupa dengan kain songket kepunyaan emak yg dihadiahkan oleh ayahnya ketika emak berusia 12 tahun. Kain itu kini disimpan oleh kakakku. Nanti bila aku ke rumahnya akan aku ambil gambar songket itu. Segan pulak nak ambil songket itu, biarlah ia di dalam simpanan kakak pula sebab dah banyak barang2 emak yg telah menjadi milikku.
Orang dulu2 selain pergi beraya, mereka akan makan2 sate di luar pada hari raya pertama dan juga menonton wayang. Berduyun2 mereka berjalan kaki beramai2. Begitu juga dengan kanak2 sepertiku dahulu, kami bersama2 dengan kawan2 pergi beraya dari rumah ke rumah di seluruh Quaters jiran kami. Meriah sungguh waktu itu. Tiap rumah pasti kami masuk dan makan kuih serta minum. Gembira bukan kepalang bila mendapat duit raya tatkala mencium tangan tuan rumah. Berkali2 ucapan terima kasih kami ucapkan kepada tuan rumah dan hadiahkan senyuman gembira.
Kini jarang sekali kanak2 yg datang berhari raya beramai2 seperti zamanku. Mungkin faktor keselamatan dan mereka lebih selesa mengikut orang tua berhari raya. Begitu juga dengan anak2ku. Aku rasa sangat rugi anak2ku tidak dapat merasai zamanku berhari raya bersama dengan kawan2ku di sekeliling quaters. Masih terbayang2 di ruang mataku saat2 gembira itu bersama kawan2 yg kini masing2 dengan haluan sendiri.
Pada raya yg lepas, ada sekumpulan kanak2 yg bukan dari kawasan perumahanku datang beraya. Mereka memberi salam dan aku menjemput mereka masuk. Masuklah dulu nak, makan kuih ni...kataku. Tetapi salah seorang daripada meraka menjawab... Tak apalah Makcik, kami dah kenyang banyak rumah lagi nak beraya ni. Nak duit aje.... jawabnya. Akupun membuka pagar dan menyuruh juga mereka masuk. Bila mereka masuk aku menyuruh mereka menjamah dan minum air. Aku kata tentu mereka haus kerana nak berjalan jauh. Bila dah haus dan letih perut lapar tentu tak dapat nak berjalan lebih jauh jadi jamahler sikit kuih dan minum air, aku cuba saiko. Lepas makan dan minum mereka meminta diri dan aku memberikan sampul duit kepada mereka tiap seorang. Mereka mecium tanganku dan mengucapkan terima kasih. Aku berpesan kepada mereka jika datang beraya kenalah masuk jika dipelawa kerana tujuan utama kita beraya adalah kerana untuk berziarah dan bermaaf2an serta berkenal2an. Aku menghantar rombongan kanak2 itu sehingga ke luar pagar dan memerhati kepada mereka. Tiba2 kanak2 yg menjawab pelawaan aku tadi menoleh kepadaku dan berhenti. Eh kenapa pulak detik hatiku. Dia memerhatikanku agak lama jugak dalam lebih kurang satu dua minit dan kemudian dia meneruskan perjalannnnya. Bila aku melambaikan tangan dan dia membalas lambaianku. Mudah2an kata2ku tidak menyinggung hatinya dan aku doakan agar mereka semua mendapat bahagia dan berjaya di dalam pelajaran dan kehidupannya kelak.

















Piring-piring kuih dan bekas-bekas kuih lama berserta dengan kuih-kuih lama ketika zaman kanak-kanakku dan juga zaman sebelum aku dilahirkan

Itulah coretan hatiku tentang kenangan raya dulu dan sekarang yg sangat bermakna bagiku walaupun aku telah bergelar seorang ibu tetapi aku masih dapat rasakan kegembiraan berhari raya lebih2 lagi aku kini telah menjadi seorang ibu dan isteri. Semoga Hari Raya yg akan datang nanti akan lebih bermakna dan sempurna bagiku dan keluarga dan semoga aku masih dapat lagi menyambutnya bersama dengan orang2 yg aku sayangi.

No comments: