Wednesday, September 30, 2009

Tart Nanas Kuih Raya Sepanjang Zaman

Mula-mula terpikir juga mama bagaimana tahun ni jika tak ada kuih tart sebab emak sepanjang bulan puasa di KL sehingga malam raya baru balik ke JB. Setakat membancuh tepung untuk dijadikan pastri mama tahu membuatnya tetapi intinya seumur hidup belum pernah mama buat. Biasanya emak yg akan menyediakan inti tart.

Namun rezeki tu tak kemana jugak. Selang beberapa hari nak raya, seorang biras mama yg juga menjaga Ajim telah meminta tolong mama membuatkan inti tart untuknya. Allah mak, tak pernah buat, so macamana ni? Kata biras mama dia terlampau bz tahap kritikal. Mana menjaga anaknya yg di dalam pantang dan juga 3 orang cucunya.

Bila dia pesan kat mama belikan nanas dan gula mamapun tak pikir panjang terus aje ke pasar dan belikan beberapa butir nanas. Tak apalah mintak dia tolong tunjukkan cara buat inti tuh. Modalnya mama keluarpun tak kisahlah, cuma pastrinya mama tak sanggup buat untuk dia sebab tinggal satu dua hari saja lagi nak raya.

So malam Jumaatnya mamapun menyediakan bahan2nya dan seperti seorang mandur, biras mama hanya mengarahkan saja.



Inti Tart Nanas


8 biji nanas dikupas kulitnya dan dipotong-potong
parut nanas dan toskan airnya sebentar
Masukkan nanas yg diparut ke dalam kuali bersama gula pasir
(anggaran gula pasir ini agak-agak tidak terlalu banyak dan janganlah sedikit sangat, jika terlalu banyak nanti keras pulak dan jika terlalu sedikit dia cepat berkulat)
daun pandan
sebatang kulit kayu manis
sedikit pewarna kuning (jika suka)


masak di atas api yg kecil dan selalulah dikacau-kacau
Apabila ianya hampir mengering kaut ketepikan buat lubang ditengah2 kuali agar airnya dapat kering tetapi jangan sampai kering biarkan ianya lembab sedikit
Sejukkan dan boleh disimpan di dalam peti sejuk


Gentel bulat2 mengikut saiz yg dikehendaki dan aturkan didalam dulang. Lapik plastik di atasnya untuk meyusun baki lebihan inti yg siap digentel




Pastri Tart


2 buku butter
1 senduk tepung jagung
2 biji telur
secubit garam
tepung gandum secukupnya (jemur sebentar tepung dan boleh jugak dihangatkan sebentar)
Pukul butter bersama telur, tetapi jangan sehingga memutih. Pukul dengan kadar yg paling rendah dan bila butter dan telur bersatu, masukkan tepung jagung, garam dan gandum. Kaup balikkan dan uli sehingga menjadi doh. Gentel bulat-bulat dan saiznya hendaklah lebih besar sedikit dari saiz inti, tetapi jangan terlalu besar sangat nanti pastri yg lebih inti kurang pulak. Biar masa makan terasa inti tuh lebih dari pastri



Lubangkan doh ditengah-tengahnya dengan ibujari dan masukkan inti tart. Biar intinya menonjol sedikit dipermukaan



Sepitkan corak menyerong disekeliling pastri tart dengan kemas dan jika suka atasnya bolehlah dihias dengan sedikit corak. Sekarang ni macam-macam corak. Mama dulu paling suka atasnya dibubuh gula keras bentuk bintang warna kuning tuh, tetapi sekarang macam dah pupus pulak gula bintang keras tuh.


Bakar sehingga masak. Make sure bila dah benar-benar sejuk baru disimpan di dalam bekas kedap udara dan alaslah dengan kertas minyak di setiap permukaan agar ianya tidak melekat.


Inilah dia kuih tart kegemaran si Adik


Sebenarnya dah berbelas tahun mama tak buat kuih tart yg tidak menggunakan acuan ini. Masa mama sekolah rendah dulu, setiap tahun emak akan membuat kuih tart tidak pernah sekali-kali dia menggunakan acuan. Seingat mama kata emak, orang-orang dahulu tak ada acuan tart so diaorang gentelkan doh bulat-bulat, kecil-kecil dan comel-comel lalu disepit disekeliling pastrinya. Lepas tuh bila keluar acuan tart ianya menggunakan acuan tembaga bersama alat penekannya diperbuat dari kayu bulat. Emak ada membelinya juga tetapi dia kata tak cantik so emak tetap teruskan tradisinya dengan menyepit kuih tart. Dulu-dulu kakak mama bila menjelang hampir raya, dia pulang dari asrama dan tugasnya adalah menyepit kuih tart. Mama masa tu kecik lagi so emak tak pernah menyuruh mama buat sebab katanya budak perempuan yg tomboy macam lelaki tak boleh buat kerja halus begini.

Tahun berganti dan musim berubah, apabila naik sekolah menengah ramai diantara kawan-kawan mama bercerita sering menolong ibu mereka membuat kuih dan mama hanya melopong saja. Akhirnya mama meminta emak mengajarkan mama cara menyepit kuih tart dan dengan sekali ajar saja mama telah berjaya membuatnya. Namun bila dah bekerja mama hanya menggunakan acuan tanpa disepit dan emak sering merungut katanya tak asli lagi. Namun pada tahun ini sesuai dengan tema kami "Raya Klasik" mamapun berusha menggilap balik bakat menyepit kuih tart dan pastinya kenangan lama semasa menjelangnya raya menjelma lagi


















No comments: