Tuesday, July 1, 2008

Bawang Putih, Minyak Masak Dan Sahabatku Itammm.....

Ada orang suka bubuh bawang putih berlebihan ketika memasak dan ada pula yang tak suka kerana baunya dan rasanya. Tapi pada mama bawang putih wangi bila ditumis dan pembuka selera. Mama kalau masak sayur goreng, mama suka Chinese Style. Kalau tak ada perencah lain pun tak apa, hanya bawang putih yang dititik sahaja sudah memadai.

Di sini pada kali ini, mama akan menunjukkan bagaimana membuat minyak bawang putih. Ianya menajadi perisa bagi setiap masakan khususnya apabila kita menggoreng mee, wantan sup, menggoreng sayuran, mengukus ikan, membuat bubur atau apa saja yang sewaktu dengannya. Resepi ini telah diajarkan oleh sahabat cyber mama iaitu Itammmmmm........ehehhee.....Itam nampaknya tersengeh-sengeh tatkala membaca entry kat blog nie. kakakakaka.......

2 gelas minyak masak



2 labu bawang putih


Bawang putih dicincang lumat

2 gelas minyak dipanaskan dan masukkan 2 labu bawang putih dan goreng sehingga garing tetapi jangan sampai hangus. Goreng dengan api kecil

Minyak bawang putih ini boleh disimpan lama dan dicurahkan kepada masakan yang bersesuaian dan sewaktu dengannya.

***Boleh disimpan di dalam balang kaca dan dipanaskan sebentar semasa hendak menggunakannya

Sedikit info tentang bawang putih

Khasiat bawang putih bukan sahaja terletak pada bebawangnya. Daun bawang ini turut mempunyai khasiat yang tersendiri dan boleh dimakan. Malahan kulit bawang ini juga turut boleh dimanfaatkan. Contohnya dalam masyarakat Melayu terutamanya dinegeri-negeri selatan Semananjung Malaysia, kulit bawang putih digunakan untuk membuat telur pindang bersama-sama bahan yang lain. Ia dikatakan mampu membuatkan rasa telur tersebut lebih enak selain daripada meninggalkan aroma yang tersendiri.

KHASIAT BAWANG PUTIH SECARA SAINTIFIK
PENCERNAAN
Bawang putih membantu pencernaan dan menambahkan nafsu makan.Apabila dimakan mentah, bawang putih meransang perembesan air liur. Ia meluaskan tindakan pepsin (satu enzim yang membantu mencerna protein) dan menaikkan tahap asid hidroklorik di dalam perut. Ia juga meningkatkan perembesan cecair usus dan meluaskan tindakan enzim yang mencerna karbohidrat. Selain itu, bawang putih mengandungi banyak serat diet, vitamin B1, vitamin C dan baunya yang istimewa meransang nafsu makan kebanyakan individu.

PENYAKIT KARDIOVASKULAR
Bawang putih merendahkan tahap lipoprotein yang 'jahat' contohnya LDL, VDL di dalam darah. Ia juga meningkatkan tahap lipoprotein yang baik contohnya HDL di dalam darah dan menyekat pengumpulan darah. Ini bermakna penggunaan bawang putih yang berterusan boleh mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular atau penyakit jantung.

BARAH
Bawang putih menyekat pembahagian dan pertumbuhan sel darah di bahagian seperti kolon, hati, buah pinggang, kulit, esofagus, perut, pundi, buah dada dan serviks. Pati bawang putih boleh mengurangkan ketoksikan siklofosfamida, sejenis ubat yang digunakan dalam rawatan barah.

FUNGSI ORGAN
Apabila bawang putih dimakan mentah, dialil sulfida membentuk hidrogen sulfida di dalam badan. Ini dikumuh melalui paru-paru iaitu tempat antibiotik dan tindakan ransangan berlaku. Melalui saraf spina dan vagus, hidrogen sulfida meransang pelbagai organ, menggalakkan peredaran darah dan memperbaiki metabolisme.

TAHAP GULA DALAM DARAH
Bawang putih mengawal tahap gula dalam darah dengan berkesan. Ini amat penting bagi memastikan tiada gula berlebihan dalam badan. Apabila tahap gula berlebihan dalam tubuh , individu tersebut mudah dijangkiti pelbagai penyakit dan penyakit yang paling digeruni ialah kencing manis.

KEMUDARATAN BAWANG PUTIH
Seperti juga dengan benda-benda yang lain, bawang putih mempunyai kesan sampingan sekiranya diambil secara berlebihan. Ini termasuklah:
Meransang mukosa pencernaan
Muntah, 'dysentery', anoreksia nervosa
Hilang berat badan, merencatkan pertumbuhan
Anemia
Dermatitis
Oleh itu sajian bawang putih yang dicadangkan dan dos yang dicadangkan:
Tidak kurang dari 5g bawang putih mentah setiap hari, atau
Tidak kurang dari 0.5ml jus bawang putih setiap hari setiap kg berat, atau
Tidak kurang dari 300mg serbuk bawang putih setiap hari.
Dalam zaman yang serba canggih kini, khasiat bawang putih boleh diperolehi dalam bentuk tablet. Terdapat pelbagai syarikat pengeluar makanan tambahan mengeluarkan tablet bawang putih ini. Ia mudah didapati di pasaran dengan harga yang berpatutan. Antara pengeluar kapsul bawang putih yang terkenal ialah Nutrilite, Cosmos, 21st Century dan banyak lagi.

KEPERCAYAAN MASYARAKAT TERHADAP BAWANG PUTIH
Setiap masyarakat mempunyai pandangan yang tersendiri terhadap bawang putih. Kepercayaan ini bukan sahaja meliputi khasiatnya terhadap bidang perubatan malahan ianya juga dikaitkan dengan kepercayaan mistik, kebudayaan dan agama.
Di zaman masyarakat Mesir Purba, bawang putih dipercayai mampu mengubati penyakit cacing, masalah jantung dan sakit kepala. Perincian penggunaan bawang putih dalam masyarakat Mesir Purba tercatat di dalam satu skrol cara-cara mengubati penyakit.
Masyarakat Inggeris lama pula mempercayai bawang putih boleh menghalau hantu daripada menganggu kehidupan mereka. Oleh kerana itu mereka meletakkan rantaian bawang putih di dalan rumah mereka atau ke kawasan yang mencurigakan. Dipercayai bau dan rasa bawang putih ini amat tidak digemari oleh hantu.
Masyarakat Melayu di Malaysia turut mempunyai kepercayaan yang tersendiri terhadap bawang putih. Selain digunakan dalam masakan, bawang putih juga banyak digunakan dalam perubatan tradisional. Bawang putih yang dicampurkan dengan minyak kelapa kebiasaannya digunakan untuk membuat minyak urut yang paling mudah. Enzim yang terdapat dalam bawang putih akan membuatkan pemakainya rasa berangin. Bawang putih juga dicampurkan dengan bahan perubatan yang lain untuk menambahkan lagi khasiatnya. Minyak gamat keluaran Hajjah Saadah Saidin dari Kedah misalnya menambahkan bawang putih dalam minyak tersebut untuk menghasilkan rasa berangin. Dalam bidang kecantikan pula, getah bawang putih dikatakan mampu mengatasi masalah tumit kaki yang pecah-pecah. Caranya begitu mudah. Beberapa biji bawang putih yang telah dikupas digosokkan ke tumit kaki yang pecah-pecah. Sekiranya diamalkan selalu ia akan melembutkan tumit kaki tersebut. Seperti masyarakat Inggeris dahulu, masyarakat Melayu juga mempunyai tanggapan tersendiri terhadap kegunaan bawang putih dalam amalan mistik.
Masyarakat Cina dikatakan amat gemar memakan bawang putih. Hampir kesemua masakan mereka dicampurkan dengan bawang putih. Penggunaan yang berlebihan dikatakan mampu membuang angin dalam badan walaupun pada dasarnya ia turut menganggu bau badan. Bawang putih dikatakan boleh memanaskan badan.
Dalam masyarakat India, bawang putih turut digunakan dalam masakan mereka . Penggunaan bawang putih mampu menambah rasa kepada daging. Bawang putih juga digunakan dalam perubatan mereka. Contoh yang paling mudah, masyarakat India mencampurkan bawang putih dalam minyak kelapa untuk dijadikan minyak urut seperti yang diamalkan oleh masyarakat Melayu.

KESIMPULAN
Tidak dapat dinafikan lagi tumbuhan kecil ini diakui oleh segenap bangsa akan manfaatnya. Hampir segenap unsur dalam tumbuhan ini boleh dimanfaatkan. Bukan sahaja bebawang, daun dan kulit malahan akarnya juga dipercayai mempunyai khasiat yang tersendiri.
Hampir keseluruhan masyarakat dunia menggunakan bawang putih dalam masakan. Selain rasa, aroma bawang putih yang pedas-pedas masam boleh meningkatkan kelazatan makanan. Di samping itu bawang putih dipercayai boleh menyembuhkan berbagai jenis penyakit. Contohnya, membuang angin dalam badan, sakit kepala, dan penyakit kulit. Dari segi saintifiknya bawang putih diakui melaraskan sistem pencernaan, mengurangkan kolestrol, merawat barah dan penyakit kardiovaskular.



Sesetengah masyarakat pula menggunakan bawang putih dalam kebudayaan mistik mereka. Bawang putih dikatakan boleh menghalau hantu atau anasir jahat. Ini kerana makhluk halus ini tidak mengemari bau atau aromanya yang masam-masam pedas.

Semoga info yang berguna ini akan memberi manfaat kepada kita semua




No comments: